Tuesday, July 14, 2009

Catatan 1

Terminal 6/27/2009 11:54 PM


Pada mulanya semua benar2 diluar jangkaan. Ini adalah permulaan sebuah episod baru. Setiap detik merupakan sebuah rantaian rakaman yang berharga. Mungkin. Apa yang pasti banyak persolaan belum terjawab. Hari keberangkatan merupakan hari yang boleh dikatakan serba serbi kekurangan, semuanya berserah pada ketentuanNYA dan Doa 100% kepadaNYA. Perjalanan yang mengambil masa 2jam 30 minit dirasakan begitu lama. Lebih2 lagi dingin yang semestinya menusuk hidung dan menyempitkan ruangan pernafasan. Melihat disekeliling ada yang bertopeng. Ini sedikit membuatkan aku risau. Iyalah penularan sebuah virus berbahaya itu mengecam tidak kira sesiapa pun. Aku memohon agar Allah melindungi aku dan keluargaku dari bahaya itu.


Sesampai di LCCT, terasa seperti sedang bermimpi, melihat langit yang seakan sama seperti langit atas rumah ku. Namun realitinya itu adalah langit di negeri orang. Usai mengambil barangan dari pemungutan kargo, aku meluru keluar. Mencari kelibat-kelibat yang bisa menjawab teka teki ku. Oh. Tidak kelihatan. Ku langsungkan saja kaki menuju ke musolla bagi menunaikan tanggungjawab dan juga bagi memohon petunjuk dariNYA. Alhamdulillah, tidak jauh aku melangkah keluar dari musolla,kelibat yang ku cari-cari kelihatan dari celah2 orang ramai. Uitm. Paparan tulisan kecil dia atas sebuah kad manila berwarna biru. Kiranya itulah yang menyambut aku dan rakan senegeri yang lain.


2009-06-28 23:14
Pandang Pertama


Perjalanan mengambil masa sejam setengah, sempat aku melelapkan mata seketika. Rupanya aku ditempatkan di ceruk bukit bukau, dikelilingi dengan kehijauan yang serba menenangkan. Mungkin sedikit sukar untuk berjalan-jalan. Dari jauh tersergam sebuah bangunan yang ku kira mempunyai 5 tingkat, itulah kediaman yang telah ditetapkan buat kami di Puncak Perdana.


Kabur


Persoalan demi persoalan timbul, namun jawapannya masih belu diketemukan. Masing-masing masih berteka teki. Aku ditempatkan bersama beberapa orang pelajar EDU yang lain. Masih lagi asing antara satu sama lain. Belum sempat berbicara, apalagi untuk cuba mengorek jawapan teka-teki. Perut yang kosong sedari keberangkatan dari tanah kediaman mula memberikan isyaratnya. Alhamdulillah, aku bertemu dengan sebuah keluarga yang datang menghantar anaknya belajar. Mereka sungguh bermurah hati dan peramah, walaupun aku adalah orang asing yang baru saja dikenali. Inilah antara norma berharga kehidupan masyarakat Malaysia kukira. Aku yang serba sendirian pada mulanya, kini berjalan berkumpulan bersama-sama dengan ahli keluarga yang datangnya dari sarawak itu. Walaupun ada bahasa yang aku kurang fahami. Tapi aku cuba untuk memahami, sememangnya ada serba sedikit bahasa yang biasa ku dengarkan di rumah (bahasa brunai). Kenyang aku dibelanja keluarga yang baik hati itu. Gembira. Hari sudah berlanjut ke malam, sudah tiba masa untuk berehat. Cerita ini akan disambung kemudian. InsyaAllah.

Saturday, June 20, 2009

Berita Gembira dari DPLI

AlhamduliLlah! Syukur 3la Allah. Tengahari yang selalunya bahang terasa dingin seakan beku. Selepas kembali dari temuduga GEMS, debaran semakin kuat. Setiap detik menanti jarum jam sampai ke nombor 12, ibarat seperti jarum yang menusuk-nusuk menambahkan kuatnya getaran hati. Pukul 12 tengahari hari ini bukanlah waktu seperti hari-hari yang lain. Hari inilah adalah jawapan segala teka-teki hala tuju aku esok hari. Terketar-ketar jari menekan keyboard, memasukkan nombor kad pengenalan. Menanti Page Loading seakan tidak terasa lantai yang dipijak. Mata dipejam, debaran semakin kuat. Mata dicelik perlahan.. mengintai-intai paparan masa depan itu.. S kah atau D kah?


S! Sukacita..! Terus aku berlari mendapatkan ummi dan abah mengkhabarkan berita gembira ini. Syukur, Alhamdulillah.. besarnya nikmat yang Engkau berikan ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.


27 hb ini aku akan berada di sana, di titik permulaan episod baru hidupku. Aku akan menjalani pembelajaran selama setahun sebelum aku bergelar pendidik. UiTM, here I come. Aku berazam dan bertekad dalam hati, aku akan sedaya upaya lakukan yang terbaik. Ya Allah permudahkan segala urusan kemasukkan ku nanti di sana. Doakan perjalananku untuk menjadi pendidik. Buat rakan-rakan dan adik-adik ku doakan semoga kalian juga dipermudahkan.. Aamin..



Catatan Kenangan di ladang anggur


Sesungguhnya terasa masa ini adalah waktu yang paling sukar. Hidup seakan tenggelam timbul, yang palingku risaukan ialah pudarnya semangat ini. Ku kuatkan hati menanti hari-hari yang penuh tanda tanya ini. Lagu ”Hakikat Bahagia” dan buku motivasi ”La Tahzan” sering menjadi teman dan penghibur agar aku tetap kuat dan sentiasa beringat. Sesungguhnya Allah yang menentukan segalanya. Sesungguhnya terasa diri ini sangat lemah dan tiada daya, saat ini hati benar-benar mendambakan kedamaian dan ketenangan yang bersandarkan kepada Allah.




Orang yang tidak sabar menunggu datangnya rezeki dan selalu susah hati kerana semua kesenangannya tidak kunjung tiba adalah seperti makmum yang mendahului imam padahal ia tahu bahawa salam hanya boleh selepas imam lebih dahulu memberi salam. Segala masalah manusia dan rezeki itu sudah ditentukan, dan sudah selesai lima puluh ribu tahun sebelum adanya penciptaan itu sendiri.


”Telah hampir datangnya janji yang telah ditetapkan oleh Allah maka janganlah kamu minta disegerakan.” (Surah An-Nahl: 1)


”Dan jika Allah menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghalang limpah kurnia-NYA.” (Surah Yunus: 107)



InsyaAllah, bersabar dan ingati-Nya selalu. Sesungguhnya janji-janji Allah adalah benar dan rahmat Allah adalah yang paling manis dari segala manisan di dunia ini. Kepada semua.. Jazakallahu khair wa barakallahu fiikum.


sign

Tuesday, June 16, 2009

Hari Esok Penentu

Pagi ini aku mula mengintai-intai laman web UPU dengan penuh debaran, kerana mungkin keputusan DPLI sudah keluar. Jelas terpapar keputusan akan diumumkan esok 18hb Jun pada pukul 12.00 tengahari. Debaran semakin kuat, kini aku hanya mampu berdoa untuk esok hari.



Hari ini juga setelah sekian lama menyepi dan membisu, aku dikejutkan dengan deringan ringtone "rain drop". Memang sangat mengejutkan, nombor yang tidak ku kenali itu rupanya adalah panggilan dari GEMS (Graduate Employability Management Scheme) atau dengan kata lain PROGRAM PERANTISAN SISWAZAH (APPRENTICESHIP PROGRAMME) DI BAWAH KHAZANAH NASIONAL BERHAD. Sungguh mengejutkan, esok aku perlu bersiap untuk ditemuduga untuk ke sekian kalinya dan esok juga aku akan mendapat keputusan DPLI.


Hatiku rasa cemas.. Or I can say that I feel like there are butterflies in my stomach. Namun, peliknya aku bukan cemas untuk bertemuduga.. tetapi cemas menanti keputusan DPLI esok. Doakan kejayaan ku esok.



Kepada sesiapa yang berminat untuk memohon program GEMS. Anda boleh melayari Laman Web Kementerian Pengajian Tinggi, atau klik di sini.


Apapun yang terjadi esok.. Aku berserah dan berdoa agar perjalanan ini dipermudahkan.. Aamin..


Sunday, May 31, 2009

Sepucuk surat cinta

Ketika mengemas almari fail-fail lama, tertarik pandangan pada sepucuk surat cinta. Di baca perlahan. Berbunga-bunga dan indah bahasanya. Sapaanya jua terasa lembut. Saat yang gembira. Tapi ianya bukan dituju buatku. Penerimanya ialah adik. Ketika menghubungi adikku yang sedang belajar diperantauan, aku segera menanyakan perihal warkah cinta yang kutemui. Berasa hairan dengan permintaannya, namun ada makna yang terselit.



Adik    : Simpankan surat itu dikamarku.

Aku     : Bukankah itu cerita lama? Mengapa masih ingin disimpan?

Adik    : Walaupun ianya cerita lama, tapi ianya kisahku. Aku akan tetap menghargai setiap apa yang terjadi dalam hidupku.

Aku diam sejenak, berfikir. Selalu, ingin saja dibuang atau dipadamkan kisah-kisah yang tidak enak diingatan. Kisah pilu yang ibarat batu bara yang memedihkan, namun andai batu bara itu dimanfaatkan, ianya akan menyala dan menerangi ruang yang gelap, dan menghilangkan kedinginan.


Setiap pertemuan pasti ada perpisahan dan perpisahan akan membawa sebuah pengertian, bukan kebencian atau permusuhan. Setiapnya ada hikmah dan ada pengertian yang patut diertikan.

Tuesday, May 26, 2009

Tawakkal 3alAllah

Sabda baginda Rasulullah, ertinya:

“Jika engkau memohon maka memohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta bantuan mintalah kepada Allah. Ketahuilah bahawa sekiranya seluruh makhluk itu berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu selain berupa sesuatu nescaya mereka tidak akan mampu memberi manfaat kepadamu selain berupa sesuatu yang sudah ditetapkan Allah bagimu. Dan sekiranya mereka semua berkumpul untuk mencelakakanmu dengan sesuatu, nescaya mereka tidak akan mampu mencelakakanmu kecuali dengan sesuatu yang ditetapkan Allah atasmu. Dakwat pena sudah habis dan lembaran-lembaran sudah dilipat.”



Ujian Medsi sudah, Temuduga pun sudah.. Kini tinggal doa dan tawakkal. Semoga dipermudahkan dan dikuatkan hati.. Aamin.

Friday, May 22, 2009

Temuduga DPLI

Esok temuduga DPLI. Entah kenapa mata masih belum hendak lelap. Padahal aku sudah berkira-kira untuk beradu lebih awal. Mungkin kerana penangan gurauan panggilan telefon sebentar tadi? Tidak mungkin. Walaupun aku cukup terkejut mulanya.

"Hello, awak effa ye. Tolong  jangan ganggu boyfriend saya lagi!".

Haha.. macam aku tidak dapat meneka permainan itu. Permainan yang selalu dimain untuk mengenakan orang. Walaupun suara itu tidak dapat dicam dengan jelas. Namun aku tau "taktik lama". Terdetik rindu dihati. Rindu pada kawan-kawan yang lama tidak kedengaran khabar. Sesekali memecah sunyi membuat hati rasa gembira. Walaupun bermula dengan sapaan yang mengejutkan. Haha. Oklah, esok temuduga kan. Semoga segalanya dipermudahkan.. Aamin.

Hamster Tales - Missing You..

Malam ini tidak seperti malam-malam yang lalu. Sepi dan rindu menggamit rasa. Ada rasa bersalah. Setiap halaman yang berkenaan cuba difahami. Namun, masih belum berjumpa dengan apa yang dicari. "Lagam" nama yang cukup popular di dalam rumah ini. Penghibur kami sekeluarga. "Makcik" yang lincah dan penyantun. Bukan apa, dia sangat rajin dan mungkin boleh di kira jelita. Pandai menghias diri dan menjaga pekertinya. Bukan ingin melebihkannya, tapi hakikat. Tidurnya sopan, ada malunya. Tidak seperti yang lain, terlentang terkuak. Badannya bersih dan berseri selalu. Lagaknya juga seakan matang. Makannya bersantun, menggunakan mangkuk. Tersedia tempat tidurnya, kemas. Lagaknya yang comel amat menggamit hati. Namun, sudah beberapa hari ini, dia kelihatan lemah. Nafasnya laju seakan tercungap. Matanya sebelah seakan sudah buta, kering. Selera makannya kurang. Badannya juga tidak terjaga. Hiba hati melihatnya begitu. "Lagam, kenapa kau ni?" Sapaan lembut. Tiada bersahut. Sepi. Sungguh tiada siapa yang pasti kenapa. Apa yang mampu di buat kini, cuma berbuat apa yang termampu dan dirasakan betul. Entahlah. Bukan tidak ingin untuk berusaha membawanya ke klinik. Tapi tragedi yang lalu sudah cukup memeritkan untuk diulang lagi. Tawakkal saja. Ku akan terus menemanimu. Semoga ada sinar harapan.

14:00 . 22 Mei 2009. Si Lagam telah tiada. Pergi tanpa disedari. Sedihnya.